Monday, September 27, 2010

SENI ZAPIN MELAYU

Penjelasan Mohd. Seth itu pernah dialami sendiri oleh pengacara program Dansa di TV3 dan ntv7 Sasha Bashir, 29. Sasha berpeluang menemubual pencipta zapin Pulau yang hanya dikenali sebagai Pak Su Man. Memetik pengalaman Sasha dalam bukunya yang berjudul, Dansa: A Dance Journey, zapin jenis zapin Pulau diwujudkan berdasarkan hasil pemerhatian si pencipta itu terhadap gelagat dan gaya hidup penduduk pulau di daerah Mersing, Johor.

“Inilah keistimewaan zapin Melayu kerana tidak pernah lekang menyajikan bermacam-macam jenis tarian zapin yang mempunyai ragam tari yang unik dan menarik. Lazimnya, nama bagi setiap jenis tarian zapin diambil sempena nama kampung mahupun daerah yang menjadi saksi kepada pembentukan sesebuah tarian zapin ,” tutur graduan Ijazah (kepujian) Seni Persembahan dari West Australian Academy of Performing Arts.

Bicara Sasha, Pak Su Man mendapat ilham mencipta ragam zapin Pulau menerusi kesopanan tingkah laku manusia secara semula jadi. Salah satunya ialah situasi dua orang yang berjalan dan berselisih di lorong yang sempit. Bagi memudahkan keadaan, salah seorang akan memberi laluan kepada seorang lagi. Tindakan berkenaan telah diterapkan dalam zapin Pulau dan dikenali sebagai ragam serong.

“Tarikan zapin Pulau terletak pada elemen gerak tarinya. Semua penari akan berpasang-pasangan dan berselang-seli bertukar arah. Corak tariannya lebih kepada motif bunga,” ujar Sasha kepada Kosmo! yang gembira apabila tarian zapin mula menular di kalangan orang bukan Melayu.

Sementara itu, pelajar Diploma Tari Aswara, Kimberly Yap Choy Hoong menyifatkan proses pembelajaran tarian zapin satu pengalaman yang menyeronokkan. Jika sebelum ini dia hanya mengenali zapin menerusi tontonan di layar televisyen tetapi kini dia berpeluang mempelajari selok-belok tarian zapin.

“Pada peringkat awal saya mengalami kesukaran untuk menghafal ragam (bunga tari) tarian zapin yang terlalu banyak dan berbeza mengikut jenis zapin. Apatah lagi dalam tempoh berkenaan tubuh badan saya masih kaku dan kekok untuk menari dengan iringan muzik yang didendangkan. Jadi, bagi membuktikan kaum Cina juga berkebolehan mendalami tarian tradisional Melayu maka setiap pagi sebelum ke kuliah saya memperuntukkan 30 minit untuk menghafal alunan muzik zapin di dalam hati,” terang Kimberly yang berasal dari Cheras, Kuala Lumpur.

Ternyata kaedah yang dipraktikkan itu membuahkan hasil. Dalam tempoh dua minggu saja muzik zapin sudah sebati dengan dirinya. Secara tidak langsung ia memudahkan tugasan Kimberly untuk menari mengikut alunan muzik zapin. Menariknya, kini Kimberly berjaya melunaskan tarian zapin mengikut tempo yang betul walaupun tanpa iringan muzik.

Jelas Kimberly, 19, meskipun tarian zapin sudah bertapak di Malaysia sejak kurun ke-14, namun dia mendapati zapin antara tarian klasik Melayu yang relevan dipersembahkan pada zaman ini. Kombinasi ragam lama dan baru serta suntikan muzik zapin yang lebih segar menjadikan tarian zapin semakin diminati setiap lapisan umur dan masyarakat.

Tambahnya: “Saya kagum acap kali melihat kumpulan penari cilik yang mampu menguasai tarian zapin dengan baik. Kesungguhan yang dipamerkan oleh mereka membuktikan bahawa tarian tradisional bukanlah sukar untuk dipelajari. Cuma ia perlu disusuli dengan usaha, minat dan sesi latihan yang sistematik.

No comments:

Post a Comment