Monday, September 27, 2010

SENI ZAPIN MELAYU

Dalam artikel ini, dikatakan seni zapin melayu ini merupakan wadah penyebaran islam. Kalau sesiapa tak tahu, wadah bermaksud dalam bahasa senang nya, sebagai medium atau cara. Jadi, adakah benar zapin melayu ini wadah penyebaran Islam? Aku pun tak berapa tahu tapi mari kita lihat dan faham dulu apa itu zapin melayu seperti di bawah. Sebelum itu, parameter-parameter yang korang kena ambil peduli semasa membaca artikel seni zapin melayu ini ialah, adakah ada pencampuran lelaki perempuan, adakah pemakaian mereka menutup aurat, adakah apa-apa pemujaan, perempuan yang menari zapin ini memakai tudung atau tidak dan apa-apa sahaja korang rasa nak tahu la…Seni zapin melayu – adakah sebagai wadah penyebaran islam atau hanyalah sebuah hiburan?

SETIAP malam selesai pak imam membaca doa, para jemaah lelaki tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya mereka meluangkan masa bersantai seketika di perkarangan halaman masjid. Usai pak imam yang mengetuai solat sebentar duduk di suatu sudut sambil memegang gambus sesetengah jemaah lelaki mula mengambil tempat di hadapan. Pak imam mula memetik gambus dan berqasidah dengan seni kata yang menyelitkan unsur-unsur keagamaan, budi pekerti dan puji-pujian kepada Tuhan, sementara golongan lelaki yang berdiri tadi bergerak mengikut alunan muzik.

“Inilah fenomena tarian zapin pada kurun ke-14 yang lalu. Ia kerap dimainkan selesai solat Isyak dan merupakan antara agenda hiburan yang popular bagi mengisi waktu malam yang terluang. Dahulu orang tak kata menari zapin, tetapi main zapin. Selain itu aktiviti main zapin ini langsung tidak melibatkan golongan wanita kerana tarian ini berasal daripada tradisi kesenian masyarakat Arab dari Yaman. Seperti yang kita tahu di sesetengah negara di Asia Barat wanita tidak mempunyai kebebasan seperti orang lelaki,” jelas Pensyarah Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Mohd. Seth Hamzah mengenai pengaruh zapin yang mula meluas di Tanah Melayu menerusi kedatangan mubaligh dan saudagar Arab.

Secara am, zapin bermaksud pergerakan dan langkah kaki dengan posisi kaki tertutup serta merendahkan kaki sedikit. Kebanyakan posisi badan akan bergerak bak ombak. Bagi posisi tangan pula si penari mengamalkan gerak tari yang bermotifkan pekerjaan yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Antaranya motif mendayung, memetik bunga atau tangan kanan mahu pun kiri berada di bahu. Di Johor, zapin atau dalam bahasa Arab al-zalfin atau zafana terdapat dalam dua bentuk zapin yang mempraktikkan gerak tari tersendiri. Ia ialah zapin Melayu dan zapin Arab.

“Sebelum ini mudah saja untuk menentukan antara tarian zapin Melayu atau zapin Arab. Umumnya, tarian zapin Melayu ditarikan oleh orang Melayu manakala orang Arab menari zapin Arab. Tapi kini, kebanyakan masyarakat tempatan sudah beralih dan serius menari zapin Melayu berbanding zapin Arab. Zapin Melayu mempamerkan ragam yang lebih lembut berbanding zapin Arab kerana penari zapin Arab menari dengan bukaan, langkah yang lebih luas, tinggi dan gagah,” tutur Mohd. Seth bahawa golongan wanita mula terlibat dalam tarian zapin lewat 1960-an.

Tambah Mohd. Seth, tarian zapin kerap dijadikan wadah menyebarkan Islam menerusi lagu-lagu berunsurkan keagamaan. Tarian itu juga terdiri daripada bermacam-macam jenis. Jenis-jenis zapin itu pula diberi sempena nama kampung atau daerah asal pembentukan zapin.

No comments:

Post a Comment